Sunday, June 22, 2008

Zikir, Doa dan Selawat Popular





Zikir dan Doa Asas Jati Diri Individu Muslim

Segala puji tertentu bagi Allah yang sentiasa kita memujiNya. Kita memohon pertolo-ngan, hidayat dan keampunan daripadaNya. Kita memohon perlindungan dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejahatan perbuatan kita. Sesungguhnya sesiapa yang diberi hidayat, maka dialah orang mendapat pentunjuk. Sesiapa yang sesat, maka tiada siapa yang dapat memimpin dan membimbingnya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Dialah yang satu dan tiada sekutu baginya. Aku juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menegaskan bahawa orang “orang-orang yang berakal, orang-orang yang mempunyai fikiran,” atau “man of understanding, man of wisdom” (Ulul albab) antara lainnya ialah orang yang banyak berzikir. Firman Allah SWT:

(bermaksud): Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Ali-Imran, 3: 190-191).

Di sebalik ungkapan zikir dan doa adalah teras aqidah Islam. Penghayatannya memberi kesan langsung memandu kehidupan seseorang ke arah kesejahteraan. Kenikmatan hidup dan kemewahan harta benda yang dikecapi, mestilah diiringi dengan kesyukuran kepada Allah. Kisah dua pemilik kebun yang disebut di dalam al-Quran memberi pengajaran yang amat berguna kepada kita. Malapetaka telah menimpa salah seorang pemilik kebun kerana ia lupa kepada Allah. Kebunnya musnah lalu ia pun menyesal. Kemudian seorang lagi pemilik kebun yang beriman menasihatkan rakannya itu seperti yang difirmankan Allah SWT:

(bermaksud): “Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: “Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah! Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah?” (al-Kahfi, 18: 39).

Tidak wajar seseorang membanding-banding kelebihan pada dirinya de-ngan seseorang lain lalu melupakan Allah dan merasa bongkak. Ini sebagaimana nasihat beliau yang difirmankan Allah menerusi ayat yang berikutnya:

(bermaksud): “… Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”. (al-Kahfi, 18: 39-40).

Zikir dan doa juga adalah cara untuk berhubung dan kembali kepada Allah SWT. Tanpanya, tiada jaminan yang selamat untuk kita. Firman Allah SWT:

(bermaksud): “Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (al-Soffat, 37: 143-144).

Buku ini menghimpunkan doa-doa yang masyhur. Ia disusun mengikut tajuk dan bab-bab yang tertentu untuk memudahkan dan mendisiplinkan kita dalam beramal. Sumbernya adalah daripada al-Quran, Hadis dan amalan ulama muktabar.

Di samping zikir dan doa, selawat adalah menjadi pelengkap. Suatu bicara menjadi sempurna jika dimulai dengan pujian-pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi SAW. Selawat juga merupakan doa dan permintaan daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Kadangkala seseorang berdoa untuk Nabi SAW. dan adakalanya ia berdoa untuk dirinya sendiri. Ini adalah suatu keistimewaan untuk hamba Allah.

Bagi mengelakkan kesulitan, pelbagai zikir, doa dan selawat yang umum sudah memadai untuk diamalkan pada sempena yang khusus. Namun untuk menetapkan disiplin dalam ibadah, doa-doa yang khusus telah ditetapkan untuk sempena yang tertentu. Fadhilat dan khasiatnya sudah pasti dijamin dapat diperolehi mengikut niat dan tujuan orang yang konsisten dan yakin beramal.

Semoga buku ini menjadi pilihan utama dalam amalan di samping kita melakukan pelbagai aktiviti harian dengan penuh keberkatan daripada ALLAH SWT.



AHMAD HASAN BIN MOHD NAZAM
http://jailurrashied.blogspot.com

BA Syariah dan Undang-Undang
Universiti al-Azhar, Mesir


Kandungan:
1. Berdoa Dengan Asmaullah al-A‘Azam
2. Asmaul Husna
3. Doa Asmaul Husna
4. Amalan dan Doa Murah Rezeki
5. Amalan dan Doa Untuk Ketenteraman dan Kesejahteraan
6. Doa Ketika Merasa Dukacita
7. Doa Menghadapi Ujian
8. Doa Untuk Orang Sakit
9. Doa Untuk Suami-Isteri
10. Doa Aktiviti Harian
11. Doa Sebelum Membaca al-Quran
12. Doa Selepas Membaca al-Quran
13. Doa Menuntut Ilmu
14. Doa Selamat
15. Doa Tolak Bala
16. Doa Jamuan Makan
17. Doa Penutup Majlis
18. Selawat Pilihan
- Pesanan Ulama
- Kesungguhan Berdoa


Spesifikasi Buku:
Penerbit: Telaga Biru (http://www.telagabiru.net.my/)
Saiz: 21.5x14.5cm
Bil Halaman: xv+160
No ISBN: 967510206-3
Harga: 25.90

Contoh Doa Jampi Untuk Diri Sendiri:

Asal teks-teks doa di atas adalah daripada hadis-hadis Nabi SAW mendoakan untuk orang lain. Teks-teks yang berwarna biru menunjukkan sebutan yang telah diubah untuk tujuan mendoakan diri sendiri. Doa-doa lain yang boleh digunakan untuk menjampi diri sendiri dan juga orang lain boleh dirujuk buku: Zikir, Doa dan Selawat Popular


No comments: